Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Individu belum jalani saringan kedua Covid-19 bakal ditahan, didakwa

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Lebih 2,800 rakyat Malaysia yang masih belum melakukan ujian saringan kedua Covid-19 selepas 13 hari menjalani kuarantin sebaik pulang dari luar negara bakal ditahan dan didakwa, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata tindakan akan bermula hari ini dengan senarai nama diperoleh daripada Kementerian Kesihatan.

“Mereka akan berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika masih enggan menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua, bermula hari ini.

“Sekiranya mereka yang ditahan ini positif Covid-19, kita akan dakwa mereka selepas pulih. Saya amat tegas mengenai perkara ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat khas Kabinet bersama Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Putrajaya hari ini.

Menurutnya taklimat mendedahkan punca penularan baharu disebabkan ketidakpatuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) dan polis telah diminta meningkatkan penguatkuasaan undang-undang.

Abdul Hamid turut memberi amaran sama kepada lebih 9,600 rakyat Malaysia yang kini menjalani kuarantin di rumah agar mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Kami akan buat pemeriksaan mengejut di rumah mereka bermula hari ini, jangan degil,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :