Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap semasa sidang media berkaitan jangkian Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 7 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Individu dalam pengawasan amal penjarakan sosial, elak dijangkiti

SHAH ALAM, 13 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan individu di bawah pengawasan dan pemantauan di rumah supaya sentiasa amalkan penjarakan sosial betul bagi mengelak risiko penularan Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga.

Ketua pengarah kesihatan berkata ahli keluarga kepada pengembara yang baru pulang ke Malaysia juga diingatkan meminimakan bilangan individu menjemput mereka di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Elakkan bersentuhan dan pakai pelitup muka setiap masa. Sekiranya terdapat individu bergejala dalam kalangan ahli keluarga atau rakan serumah kepada pengembara, mereka perlu mendapatkan rawatan segera,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka yang berkaitan juga sewajarnya mengambil inisiatif duduk di rumah dan amalkan kuarantin sendiri serta penjarakan selamat dengan ahli keluarga atau rakan serumah.

KKM mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mengelakkan daripada berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan anggota serumah terutamanya di antara orang dikasihi.

Antara nasihat kementerian adalah seperti berikut:
– Sentiasa berada di rumah sepanjang dalam tempoh pengawasan;
– Hadkan pelawat atau tetamu yang datang ke rumah;
– Rekodkan pelawat yang menziarahi dan kemukakan kepada pihak kesihatan sekiranya diminta;
– Pastikan jarak anda dengan mereka yang sihat (iaitu termasuk ahli keluarga) sekurang-kurangnya satu meter;
– Sekiranya anda bergejala, sentiasa pakai alat pelitup muka;
– Jika tidak memakai pelitup muka, tutup mulut dan hidung anda menggunakan tisu apabila batuk atau bersin;
– Sentiasa amalkan adab batuk yang baik;
– Elakkan penggunaan kenderaan awam, sekiranya perlu pakai pelitup muka;
– Elakkan perkongsian peralatan makanan dan penjagaan diri seperti berus gigi dengan individu serumah yang lain;
– Cuci peralatan makanan yang digunakan dengan air dan sabun sebelum digunakan semula;
– Pastikan pengudaraan rumah dalam keadaan baik dengan membuka tingkap.


Pengarang :