Pengunjung mengenakan pelitup muka ketika berkunjung ke pusat membeli-belah di Pulau Pinang pada 17 Mei 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Individu tak pakai pelitup muka didenda serta-merta

SHAH ALAM, 30 JULAI: Polis boleh mengenakan kompaun serta-merta terhadap individu tidak memakai pelitup muka di tempat awam bermula 1 Ogos, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang gagal mematuhi peraturan itu akan didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Apabila kita kata wajib, jika melanggar peraturan, akan dikenakan tindakan (kompaun). Bagaimanapun, pelaksanaannya terpulang pada budi bicara polis.

“Kalau biasanya dulu-dulu apabila sesuatu perkara ditetapkan, pada peringkat awal (polis) akan tegur secara berhemah. Polis (boleh) mengenakan kompaun serta-merta dan boleh beri nasihat juga,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada 23 Julai, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam selepas mengambil kira penambahan kluster baharu selain atas nasihat Kementerian Kesihatan.


Pengarang :