Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Inkues Nora Anne berlangsung dua minggu mulai 24 Ogos

SEREMBAN, 10 JULAI: Mahkamah Koroner hari ini menetapkan 24 Ogos sebagai tarikh prosiding inkues remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin yang hilang dan kemudiannya ditemukan mati semasa percutian bersama keluarga di sebuah resort di sini, tahun lepas.

Koroner Maimoonah Aid yang membuat keputusan itu pada sesi pengurusan kes remaja berkenaan di sini berkata inkues akan berlangsung selama dua minggu sehingga 4 September ini.

Turut ditetapkan ialah 13 Ogos depan sebagai tarikh lawatan ke lokasi kejadian di pusat peranginan di Pantai di sini, lokasi mayatnya ditemukan setelah dilaporkan hilang pada 4 Ogos, iaitu sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu.

Pada sesi berkenaan, mahkamah juga memutuskan untuk memanggil seramai 64 daripada 102 orang saksi yang dikemukakan pegawai penyelaras inkues Muhamad Iskandar Ahmad dengan Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar akan menjadi saksi pertama dalam prosiding yang bertujuan menentukan punca kematian Nora Anne.

Peguam Datuk Sankara Nair yang mewakili keluarga Nora Anne pada sesi itu turut memohon agar dikemukakan saksi tambahan iaitu seorang doktor forensik yang menjalankan proses bedah siasat kedua di United Kingdom (UK) bagi membantu inkues.

Koroner Maimoonah juga membenarkan prosiding inkues berkenaan diakses melalui kemudahan telesidang seperti zoom bagi membolehkan keluarga remaja itu yang berada di UK mengikutinya.

“Namun sukar juga hendak dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris memandangkan kebanyakan saksi akan bercakap dalam bahasa Malaysia dan saya akan kekal (bertutur) dalam bahasa Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Iskandar pula memohon agar keluarga Nora Anne mendapatkan khidmat pelajar Malaysia di UK bagi membantu mereka memahami perjalanan prosiding serta keterangan yang diberikan saksi dan ini dipersetujui Koroner Maimoonah.

Sankara ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau bersetuju dengan cadangan Muhamad Iskandar dan akan mencadangkan kepada anak guamnya agar mendapatkan khidmat pelajar Malaysia di sana bagi membantu menterjemah keterangan saksi dan perjalanan prosiding.

Sementara itu, Muhamad Iskandar pula berkata meskipun jumlah saksi yang diputuskan adalah 64 orang, mahkamah boleh menambah bilangan saksi pada bila-bila masa.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos, sehari selepas ibu bapanya tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 km dari resort tersebut susulan pencarian secara besar-besaran.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian Nora Anne yang merupakan golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

– BERNAMA


Pengarang :