Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 14 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Insentif RM500 tidak diagih, ada salah guna lesen penjaja

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kerajaan Negeri hanya membelanjakan RM10 juta daripada RM40 juta insentif diperuntukkan kepada peniaga dan penjaja kecil di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19.

EXCO Pembangunan Usahawan berkata ini berikutan bantuan RM500 tidak disalurkan sepenuhnya kerana siasatan mendapati terdapat salah laku berhubung pengeluaran dan penggunaan lesen perniagaan.

“Sepatutnya bantuan ini diberikan kepada 80,000 peniaga dan penjaja kecil berlesen tetapi tidak mencapai sasaran, kita terpaksa tangguhkan sebab ada pihak salah guna lesen.

“Siasatan mendapati ada peniaga diberikan lesen tetapi tidak berniaga, sebaliknya menyewakan kepada pihak lain,” kata Rodziah Ismail ketika ucapan penggulungan di Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sedang melaksanakan proses pemutihan lesen berkaitan sebelum bantuan tersebut disalurkan semula.

“Ini membezakan kerajaan Pakatan Harapan dengan parti lain, kita tidak beri duit sesuka hati, kalau kita tidak telus duit RM40 juta ini sudah tentu habis,” katanya.

Ketika membentangkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin fasa satu pada 20 Mac lalu, Amirudin mengumumkan dana RM40 juta untuk melaksanakan insentif khas kepada peniaga dan penjaja berlesen yang terkesan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Kerajaan Negeri menyasarkan 80,000 peniaga dan penjaja berlesen akan menerima manfaat tersebut.


Pengarang :