Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada 29 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Institut perubatan diminta kaji varian baharu virus Covid-19

SHAH ALAM, 6 JULAI: Institut penyelidikan dan perubatan diarah menjalankan kajian bagi mengenal pasti varian terbaharu (G614) virus Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah itu bagi membolehkan Malaysia menghasilkan vaksin untuk menentang wabak tersebut.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sudah dimaklumkan (varian G614) dan kajian perlu dilakukan sama ada mutasi virus berkenaan mampu menjadi penyebar super (super spreader) Covid-19.

“Ini peluang untuk kita kenal pasti virus tersebut, maka vaksin boleh dicipta kerana dalam tempoh enam bulan sahaja kita sudah belajar banyak sifat virus,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam, sebuah portal antarabangsa melaporkan kajian saintifik terbaharu menemui bukti kukuh terdapat varian virus Covid-19 dipercayai tersebar dari Eropah ke Amerika Syarikat.

Mutasi baharu itu menjadikan virus berkenaan lebih mudah berjangkit tetapi tidak memberi kesan lebih teruk kepada individu dijangkiti.


Pengarang :