Anggota Polis Pelancong dari Balai Polis Masjid India, Sarjan Mejar Abd Manab Baki (tengah) memberi nasihat dan penerangan kepada orang awam supaya tidak bersiar-siar tanpa tujuan penting ketika membuat rondaan di sekitar jalan Masjid India pada 20 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ismail Sabri: 383 individu ingkar PKP ditahan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Seramai 383 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 32 individu direman manakala 351 dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dalam kelab malam melibatkan 328 individu manakala 55 individu ditahan kerana melakukan aktiviti tanpa mematuhi penjarakan sosial.

“Selain itu sembilan premis diberi nasihat, manakala tiga diberi amaran kerana tidak patuh tatacara operasi piawai (SOP),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut menjalankan pemantauan harian 12 jenis barangan di 684 premis perniagaan melibatkan peruncit (514), pemborong (145) dan pengilang (25).

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya.


Pengarang :