Pemain pasukan Terengganu FC ll Muhammad Amir Ashraf Hussin (depan, kanan) cuba mengawal bola dari pemain pasukan Selangor II Shaeven Selvakumaran (depan, kiri) pada perlawanan Liga Perdana antara pasukan Selangor II bertemu Terengganu FC ll di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 1 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Ismail Sabri: Saingan Liga M sambung 15 Ogos

SHAH ALAM, 10 JULAI: Saingan Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M) yang ditangguhkan sejak 13 Mac lalu disambung semula 15 Ogos, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata pelaksanaan aktiviti itu perlu dilakukan dalam keadaan terkawal dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL), Liga Hoki Malaysia (MHL), Liga Ragbi Malaysia (MRL) dan beberapa kejohanan berpasukan lain turut dibenarkan.

“Penganjuran kejohanan tidak membabitkan penonton dan hanya melibatkan penganjuran di dalam negara sahaja, namun kerajaan membenarkan perlawanan tersebut disiarkan secara langsung,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata sukan tanpa sentuhan fizikal seperti permotoran, gimnastik, terjun papan anjal dan catur dibenarkan mulai 15 Julai.

“Jadi selepas ini sukan lumba kereta dan motosikal di Litar Antarabangsa Sepang dan litar tempatan lain boleh dianjurkan. Setiap peserta atau pemain perlu disaring suhu badan dan gejala, kawalan bilangan petugas dan pengguna dihadkan mengikut sesi serta keluasan premis.

“Saya juga mengingatkan semua pihak untuk membersihkan peralatan sukan setiap kali selepas digunakan bagi mengelak berlaku penularan Covid-19,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan kesemua aksi Liga Malaysia (Liga-M) 2020 ditangguhkan susulan penularan Covid-19.


Pengarang :