Jemaah yang mendapat kebenaran khas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang mendengar khutbah pada 19 Jun 2020. Foto Ihsan Masjid Jamek Ar Rahimiah
AGENSISELANGOR

Jais: Lebih ramai daftar solat Jumaat, giliran akan sampai

SHAH ALAM, 4 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menggesa lebih ramai umat Islam mendaftar bagi mendapatkan giliran menunaikan solat Jumaat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarahnya berkata setakat ini pihaknya menetapkan Google Form sebagai medium pendaftaran tetapi menerima kaedah lain mengikut kesesuaian masjid sebagai jaminan setiap kariah dapat menunaikan solat berkenaan.

“Jais tidak mahu dengan penguatkuasaan dan penjarakan (sosial) sekarang akan ada individu tertentu atau yang dekat dan cepat sahaja dapat solat Jumaat.

“(Individu) kena daftar dan tunggu kad kehadiran disampaikan pentadbir masjid, baru hadir (ke masjid). Tiada kad tidak perlu hadir dan jika sudah mendaftar, giliran akan sampai juga,” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini.

Beliau berkata setakat ini pengurusan solat berjalan lancar dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) walaupun sebahagian individu dihalang masuk kerana tidak membawa sejadah dan datang lewat selepas azan kedua.

Mohd Shahzihan mengakui akan ada mereka yang tidak dapat menunaikan solat selagi penjarakan sosial dilakukan demi mengekang penularan Covid-19.

Bermula semalam semua masjid dan surau di seluruh negeri dibenarkan dibuka semula untuk solat Jumaat dan solat fardhu selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengikut kapasiti ditetapkan.


Pengarang :