Penguat kuasa menyemak kad kehadiran jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri, Shah Alam pada 19 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jais tarik semula kelonggaran jika masjid, jemaah abai SOP

SHAH ALAM, 17 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mengambil tindakan tegas kepada masjid, surau dan jemaah yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya tidak teragak-agak menarik semula kelonggaran
diberikan demi keselamatan dan kemaslahatan jemaah serta imej Islam.

“Seluruh umat Islam di negeri ini perlu ingat kita belum berjaya memutuskan penularan Covid-19, justeru pentadbir masjid dan surau serta jemaah ditegas terus berhati-hati dan mengikut SOP.

“Ketetapan ini perlu diambil berat bagi memastikan kelangsungan rumah ibadat diteruskan tanpa mengundang fitnah kepada agama Islam dan umatnya selain memastikan aktiviti agama berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikut persediaan penting sebelum ke masjid dan surau:

1. Berwuduk dari rumah
2. Memakai pelitup muka
3. Membawa sejadah sendiri (ukuran standard)
4. Sihat dan tidak bergejala (bacaan suhu melebihi 37.5 Celcius dilarang hadir)
5. Menggunakan cecair pembasmi kuman atau membersihkan tangan ketika hadir dan pulang dari masjid/surau
6. Hadir lebih awal ke masjid atau surau kebenaran khas Jumaat (sebelum azan pertama berkumandang)
7. Sentiasa mematuhi dan menjaga penjarakan sosial


Pengarang :