Pesara, Abdul Hai Ismail Pakir Muhiddin Shah, 75, (dua, kiri) dan isteri Endot Hairudin, 72, (kiri) menyambut ketibaan sanak-saudara sempena Aidilfitri yang disambut dalam norma baharu pada 24 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jamuan Aidiladha maksimum 20 orang

SHAH ALAM, 27 JULAI: Jamuan di rumah sempena hari raya korban terhad kepada 20 orang pada satu-satu masa, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata individu yang masih dalam proses kuarantin pula dilarang keluar rumah mahupun menunaikan solat sunat Aidiladha.

“Kerajaan membuat keputusan untuk menyemak semula tatacara operasi piawai (SOP) Aidiladha dan ibadah korban setelah mengambil kira risiko penularan semula jangkitan Covid-19.

“Oleh itu, jumlah mereka yang berada dalam rumah tidak boleh melebihi 20 orang dalam satu-satu masa dan jika ada individu yang memakai gelang tangan kuarantin melanggar peraturan, orang ramai diminta lapor kepada polis,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Ismail Sabri berkata haiwan korban tidak boleh melebihi 10 ekor manakala bilangan kehadiran terhad kepada 20 orang untuk setiap ekor haiwan.

“Kita tidak membenarkan jamuan atau kenduri di masjid, surau atau tempat sembelihan kecuali makanan dibungkus. SOP ini untuk Wilayah Persekutuan dan boleh digunapakai majlis agama negeri sebagai rujukan,” katanya.


Pengarang :