Lima daripada 90 kes keganasan rumah tangga di Selangor melibatkan mangsa lelaki.
AGENDA

JKM terima lima kes suami didera ketika PKP

SHAH ALAM, 15 JULAI: Selangor merekodkan lima kes keganasan rumah tangga membabitkan mangsa lelaki sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO kebajikan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa, berusia 18 hingga 60 tahun, didera secara fizikal dan emosi dari 18 Mac hingga 3 Mei.

“Secara keseluruhannya, 90 kes keganasan rumah tangga dikesan di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula Mac lalu, tetapi lima daripadanya membabitkan mangsa lelaki.

“Kita percaya ada banyak lagi insiden seperti ini kerana biasanya lelaki tidak membuat laporan kerana dianggap tak ‘macho’, dayus dan lain-lain,” katanya kepada media ketika sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau juga percaya kes itu berlaku kerana isteri mempunyai masalah kesihatan mental.

“Oleh itu, masyarakat janganlah stereotaip dengan beranggapan keganasan rumah tangga hanya dilakukan oleh kaum lelaki sahaja.

“Bagi saya, mangsa perlu tampil kerana JKM sedia membantu, malah terdapat juga khidmat kaunseling disediakan,” katanya.


Pengarang :