BERITA UTAMASELANGOR

Kagumi Dr Khoo, Sultan Selangor ingatkan ahli politik fahami sejarah

SHAH ALAM, 11 JULAI: Ahli politik diingatkan memahami sejarah negara dengan betul ekoran masih ramai memandang remeh kepentingannya, demikian titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam kenyataan dikeluarkan Selangor Royal Office, baginda membangkitkan perkara itu kerana melahirkan rasa kagumnya kepada mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Khoo Kay Kim yang banyak menyumbang idea terutama berkaitan sejarah tempatan.

“Ini termasuk menyemarakkan kembali semangat cintakan sejarah dalam kalangan anak muda serta pembangunan arena sukan tempatan iaitu bola sepak.

“Semangat ditonjolkan mendiang dalam mengutamakan fakta sejarah turut dikagumi walaupun ada segelintir memutar belitkannya,” titah baginda menerusi Facebook.

Pada masa sama, baginda berharap jasa dan sumbangan Dr Khoo terus dikenang seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa sebagai simbol semangat perpaduan Malaysia sebenar.

Pada 9 Julai lalu, Sultan Selangor berkenan terima menghadap balu tokoh Sejarahwan Negara itu, Puan Sri Rathi Khoo dan dua anak mereka.

Difahamkan, pertemuan itu sebagai tanda penghargaan di atas perkenan baginda mengabadikan nama mendiang di salah sebuah jalan di Petaling Jaya, iaitu Jalan Prof Khoo Kay Kim.


Pengarang :