Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah yang ditetapkan Kementerian Pendidikan ketika tinjauan pada 24 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kaji sesi sekolah jika kes wabak naik

SHAH ALAM, 21 JULAI: Sesi persekolahan hanya dikaji semula jika kes Covid-19 terus meningkat, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ketika ini kerajaan kekal dengan keputusan membenarkan pelajar ke sekolah secara berperingkat mulai 24 Jun lalu.

“Setakat ini tiada keputusan baharu dari Kementerian Pendidikan, namun sekiranya kes meningkat bukan sekolah sahaja yang perlu ambil tindakan (tutup) tetapi semua sektor terlibat,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Sesi persekolahan untuk pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang mengambil peperiksaan awam bermula 24 Jun lalu manakala selebihnya secara berperingkat mulai 15 dan 22 Julai.

Semalam, sebanyak 21 kes baharu Covid-19 direkodkan dengan jumlah keseluruhan 8,800 kes dan pertambahan 13 kluster baharu.

Perkara tersebut membimbangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan peningkatan kes baharu kepada dua digit sejak beberapa hari lalu.


Pengarang :