Dato’ Seri Amirudin Shari melawat tapak pam kolam takungan banjir di Taman Permata, Dengkil pada 20 Julai 2020. Foto Radin Wazir/Pejabat Menteri Besar
BERITA UTAMASELANGOR

Kajian bencana Selangor siap awal tahun depan

DENGKIL, 20 JULAI: Selangor sedang menyiapkan kajian bencana bagi memudahkan Kerajaan Negeri menangani dampak tragedi itu dengan lebih berkesan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kajian itu dijangka siap awal tahun depan.

“Menerusi kajian ini, kita akan melihat anggaran dan kesan-kesan bencana, ini memandangkan bencana di negeri ini ada trend yang tersendiri.

“Ia dijangka siap sama ada hujung tahun ini atau awal tahun 2021,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Dengkil di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata seperti yang berlaku di Langat, kejadian banjir kilat di situ berada di luar jangkaan.

“Ini kerana bacaan milimeter (mm) hujan mencecah 192 mm berbanding kemampuan Sungai Langat yang boleh menerima maksimum 88 milimeter sahaja.

“Isu besar bagi menangani masalah banjir ialah menaik taraf infrastruktur termasuk saliran, justeru, Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan akan cuba menyelesaikan isu ini,” katanya.

Kelmarin, 41 kawasan di Hulu Langat, Sepang, Hulu Selangor, Gombak dan Klang mengalami banjir kilat susulan hujan lebat.


Pengarang :