Ketua Pengarah Kastam Datuk Abdul Latif Abdul Kadir ketika sesi sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Orang Kena Tuduh (OKT) jenis Maxus V80 2.5 liter Window Van, di sini pada 21 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kastam gagal cubaan seludup 456 juta batang rokok Januari-Jun tahun ini

PUTRAJAYA, 21 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 456.03 juta batang rokok bernilai RM37.33 juta dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sekali gus berjaya menutup ketirisan hasil membabitkan jumlah duti dan cukai sebanyak RM337.5 juta.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata sebanyak 804 kes, melibatkan rampasan rokok kretek dan rokok putih, ditumpaskan JKDM dalam tempoh enam bulan pertama itu, termasuk kira-kira 40 kes ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Modus operandi penyeludupan menggunakan kontena melalui pelabuhan utama dengan memalsukan dokumen dan pengikraran untuk mengelirukan pegawai penguat kuasa,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kenderaan Orang Kena Tuduh (OKT) jenis Maxus V80 2.5 liter Window Van di sini hari ini.

Menurut Abdul Latif, bekalan rokok tidak sah semasa PKP berkurangan di pasaran menyebabkan harga naik mencecah RM10 sekotak.

Dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lepas, katanya JKDM mematahkan cubaan menyeludup 236.2 juta batang rokok bernilai RM19.52 juta, membabitkan jumlah duti dan cukai sebanyak RM174.78 juta.

Mengenai penyeludupan dadah pula, Abdul Latif berkata JKDM menumpaskan 115 kes di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Abdul Latif berkata JKDM akan memohon penambahan alatan pengimbas daripada Kementerian Kewangan untuk diletakkan di semua pintu masuk pelabuhan dan lapangan terbang strategik bagi memperkukuhkan penguatkuasaan.

Menurutnya, JKDM akan menerima sebanyak 20 mesin pengimbas kargo bernilai RM235 juta yang telah diluluskan kerajaan pada akhir tahun ini untuk ditempatkan di pintu masuk pelabuhan dan lapangan terbang strategik.

“Mesin pengimbas canggih serta kaedah andaian yang tinggi harus diguna pakai pegawai kerana ada pelbagai modus operandi penyeludupan termasuk menggunakan badan, alatan elektronik, serta memasukkan serbuk dadah dalam peket minuman ‘3 dalam 1’ untuk mengelirukan penguat kuasa,” katanya.

Khidmat anjing pengesan juga penting dalam menumpaskan aktiviti penyeludupan dan kira-kira 40 ekor anjing pengesan milik JKDM kini ditempatkan di stesen sempadan seperti di Padang Besar, Bukit Kayu Hitam, pintu sempadan Johor Bahru dan KLIA, katanya.

Mengenai kenderaan OKT itu, Abdul Latif berkata 12 unit kenderaan berkenaan akan digunakan bahagian penguatkuasaan JKDM di peringkat ibu pejabat, zon dan negeri yang boleh memuatkan sehingga 13 orang, melibatkan maksimum 10 OKT dan tiga pegawai termasuk pemandu.

Beliau berkata penyediaan kenderaan itu, yang dilengkapi antaranya dengan jeriji besi dan kamera pegawasan, adalah bagi memastikan keselamatan kepada OKT, anggota pengiring serta pengendali kenderaan semasa pergerakan OKT.

– BERNAMA


Pengarang :