Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Johari Alifiah (lima, kiri) menunjukkan basikal elektrik yang dirampas pada sidang media Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Zon Tengah) di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelana Jaya pada 20 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kastam patahkan cubaan seludup barangan terlarang tanpa permit

PETALING JAYA, 21 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup masuk basikal elektrik (e-bike) yang dimuatkan dalam sebuah kontena berukuran 40 kaki di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata, pemeriksaan Bahagian Penguatkuasaan JKDM ke atas kontena yang diisytiharkan sebagai kenderaan elektrik import (K4) menemukan 75 unit basikal elektrik dianggarkan bernilai RM112,500 dengan anggaran cukai bernilai RM45,000.

“Dagangan basikal elektrik diklasifikasikan sebagai dagangan terlarang bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan tertakluk kepada permit daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JKDM di Kelana Jaya dekat sini.

Beliau berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pengimport dan pegawai kastam yang terlibat dalam cubaan menyeludup basikal elektrik tanpa permit itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(A) Akta Kastam 1967.

Dalam kes berasingan, JKDM mematahkan cubaan menyeludup minuman keras dalam sebuah kontena di pelabuhan berkenaan pada hari yang sama.

Katanya hasil pemeriksaan kontena berkenaan, yang diisytiharkan memuatkan pelbagai barangan campur termasuk pelitup muka pakai buang dan beg plastik, kastam menemukan sejumlah 16,200 liter minuman keras yang dipercayai tidak bercukai, bernilai RM76,500 dengan jumlah duti/cukai RM437,580.

Menurutnya, ejen penghantaran yang terlibat telah dikenal pasti dan tindakan sedang diambil bagi mengesan ejen berkenaan untuk membantu siasatan kes bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

Sementara itu, lapan warga asing termasuk tiga wanita berumur antara 21 hingga 45 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras.

Johari berkata pemeriksaan JKDM ke atas beberapa premis serta kedai runcit sekitar Selangor dalam Op Benteng 2020 menemukan pelbagai barangan larangan termasuk minuman keras dan rokok melibatkan sembilan kes rampasan.

Sejumlah 157,760 batang rokok dan 109.56 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM52,096.04 dengan anggaran duti RM113,553.19 serta dua kenderaan terdiri daripada Honda City dan Perodua Alza dianggarkan bernilai RM38,000 disita dalam operasi berkenaan.

“Kesemua mereka direman selama 14 hari,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :