BERITA UTAMASELANGOR

KEADILAN Ampang tetap kukuh, tidak bubar

SHAH ALAM, 4 JULAI: Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Ampang kekal kukuh dan tidak dibubarkan seperti dakwaan bekas anggotanya.

Dalam kenyataan bersama 23 ahli jawatankuasa (AJK) cabang itu, mereka menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sedemikian yang diumumkan segelintir bekas AJK.

“Kami AJK Cabang Ampang masih kekal setia dan yakin dengan kepimpinan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Amirudin Shari selaku pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor,” kata mereka.

Kenyataan itu dibuat 19 AJK yang dipilih, tiga lantikan dan seorang lagi pengerusi tetap cabang.

Mereka bertekad meneruskan mandat rakyat yang diamanahkan kepada KEADILAN sekalipun beberapa pemimpin mengkhianati kepercayaan pengundi.

Kenyataan itu juga menyebut anggota cabang Ampang berazam untuk meneruskan perjuangan reformasi yang digerakkan sejak 22 tahun lalu.

Bekas Naib Ketua Cabang PKR Ampang, D Nallan hari ini mengumumkan sebahagian ahli termasuk AJK cabang itu keluar parti serta-merta. Beliau juga mendakwa cabang itu terbubar.


Pengarang :