Selangorkini
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika perbahasan Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 13 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

KEADILAN: Wanita terima banyak manfaat pelan pemulihan ekonomi Selangor

SHAH ALAM, 15 JULAI: Pelan Pemulihan Ekonomi Fasa Ketiga dikemukakan Kerajaan Selangor mampu memberi lonjakan kepada keperluan ekonomi rakyat terutama golongan wanita.

Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor berkata pihaknya menghargai usaha Kerajaan Negeri yang tidak meminggirkan peranan wanita untuk turut menjadi penyumbang ekonomi keluarga menerusi inisiatif seperti e-Dapur, Data Internet Selangor, Selangor Kerjaya serta inisiatif Roda Darul Ehsan (Ride).

“Melalui e-Dapur golongan wanita berpeluang untuk melakukan perniagaan dalam talian tanpa perlu mengabaikan kualiti masa bersama keluarga.

“Inisiatif ini turut memudahkan usahawan wanita yang baru bermula dengan melepaskan mereka dari beban logistik seperti penyewaan premis dan keperluan pengangkutan,” kata Siti Nooraishah Geoffrey dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata inisiatif Data Internet Selangor akan memberi manfaat kepada sebahagian besar pengguna yang terdiri daripada golongan pelajar luar bandar, guru dan usahawan wanita.

Malah melalui insiatif Ride, wanita muda di Selangor juga boleh menambah kemahiran dan kebolehpasaran mereka dalam bidang berkaitan.

Pada 13 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentang pelan pemulihan ekonomi bagi membantu golongan terjejas akibat penularan Covid-19.

Pelan itu, sinambungan dua fasa pakej Selangor Prihatin pada Mac lalu, berasaskan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan.

Bertema Menyemarak Kebingkasan Rakyat, Memacu Kesejahteraan Negeri, keseluruhan nilai ekonomi pelan tersebut adalah RM55.85 bilion.

Sehingga kini, sebanyak RM260 juta dibelanjakan untuk manfaat kepada 3.5 juta rakyat.


Pengarang :