Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap semasa sidang media harian berkenaan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 7 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kebersihan kendiri semasa PKP punca zoonosis berkurang

SHAH ALAM, 6 JULAI: Amalan kebersihan kendiri dalam kalangan masyarakat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyumbang penurunan kes penyakit zoonosis di negara ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata zoonosis adalah penyakit berjangkit yang berlaku antara haiwan dan manusia seperti Leptospirosis (kencing tikus), Rabies, Brucellosis, Japanese Encephalitis, Q Fever dan Malaria Knowlesi.

“Ia boleh disebabkan oleh pelbagai patogen penyakit seperti virus, bakteria, kulat dan parasit. Setiap tahun dijangkakan satu daripada tiga orang di dunia akan dijangkiti zoonosis.

“Jika dibandingkan prevalnes penyakit zoonosis dari tahun-tahun lepas didapati terdapat penurunan kes penyakit ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata sempena sambutan Hari Zoonosis Sedunia 2020, Kementerian Kesihatan (KKM) berharap penglibatan orang ramai dalam pencegahan penyakit itu dipertingkatkan menerusi amalan kebersihan kendiri tinggi.

“Kita perlu selalu mencuci tangan dengan sabun dan air bersih terutamanya selepas mengendalikan haiwan, lindungi diri bagi mencegah daripada digigit nyamuk, pinjal dan kutu.

“Masyarakat perlu elakkan digigit atau dicakar haiwan, masak, simpan dan kendalikan makanan dengan cara betul, selamat serta pastikan daging atau bahan mentah lain dimasak secukupnya sebelum dimakan,” katanya.

Sehingga Jun lalu, penyakit leptospirosis merekodkan 1,484 kes berbanding 5,217 tahun lalu manakala rabies (dua berbanding enam kes), brucellosis (tiada kes berbanding 10), JE (tujuh berbanding 36), Q Fever (tiada kes) dan Malaria Knowlesi (1,156 berbanding 3,222).


Pengarang :