AGENDAEKONOMINASIONAL

Kecerdasan Buatan bantu tingkat untung, ekonomi – penganalisis

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Kecerdasan Buatan (AI) merupakan perkembangan yang paling hebat selepas Internet dan berpotensi untuk meningkatkan keuntungan di seluruh sektor, walaupun masih di awal pembangunan, kata seorang penganalisis.

Pengarah Bersama Portfolio Pengurus, Penganalisis Penyelidikan Kanan dan Teknologi Allianz Global Investors, Stephen Jue berkata AI berpotensi untuk meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi dalam nilai tahunan merentasi 16 industri menjelang 2035.

Sebagai contoh, industri maklumat dan komunikasi, dengan pertumbuhan asas sebanyak 3.4 peratus, mempunyai potensi untuk berkembang sehingga 4.8 peratus manakala industri pembuatan, dengan pertumbuhan asas 2.1 peratus, boleh ditingkatkan sebanyak 4.4 peratus.

“Perkembangan dalam infrastruktur 5G juga akan meningkatkan keupayaan teknologi dengan membolehkan peranti Internet Pelbagai Perkata (IoT) untuk disambungkan kepada internet, oleh itu, mampu memacu keupayaan yang lebih pintar pada masa akan datang,” katanya dalam satu webinar yang bertajuk “Teknologi dan Kecerdasan Buatan – Pelaburan untuk Normal Baharu atau ke Masa Hadapan?”, yang dianjurkan oleh RHB Asset Management.

Beliau ketika mengulas mengenai adaptasi AI sekarang ini berkata teknologi tani, dron dan traktor automatik sedang menguasai aplikasi pertanian, manakala dalam sektor runcit, kedai tanpa juruwang sedang dibina.

Keupayaan dan sistem AI turut digunakan dalam sektor penjagaan kesihatan bagi mengesan sel barah, demam dan tanda-tanda awal Alzheimer pada kadar yang lebih baik daripada doktor manusia.

“Kita akan melihat keupayaan ini terus berkembang dalam sektor penjagaan kesihatan yang berkaitan dengan AI. Malahan semasa wabak Covid-19, penjujukan virus itu dibuat dalam masa hanya 30 hari berbanding hampir enam bulan apabila kita mengalami SARS sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Ekuiti Asia Pasifik, RHB Asset Management di Singapura, Tan Jee Toon berkata pembangunan AI yang semakin pesat telah meningkatkan risiko gangguan dalam profesion tertentu.

Agak malang untuk profesion yang boleh dioptimumkan atau melibatkan pengurangan strategi atau elemen kreatif kepadanya, kemungkinan untuk pekerjaan ini diambil alih oleh AI adalah tinggi.

“Sebaliknya, semakin bertambah interaksi sosial yang diperlukan dalam sesuatu pekerjaan atau industri anda, risiko untuk anda digantikan oleh AI adalah kurang, contohnya, ahli psikiatri, ketua pegawai eksekutif, pekerja sosial dan sebagainya.

“Pekerjaan yang berada dalam zon bahaya adalah wakil khidmat pelanggan, ejen insurans, ahli radiologi, juruwang dan tukang masak restoran,” tambahnya lagi.

-BERNAMA


Pengarang :