BUDAYARENCANA

Kejantanan dalam filem Melayu

Oleh Daniyal Kadir

LELAKI bukanlah selama-lamanya kuat, gagah dan benar-benar berkuasa. Malah takrifan maskuliniti tipikal yang berkaitan dengan ciri-ciri ini tidaklah benar sepenuhnya. Maskuliniti tidak bersifat tetap dan tepat, ia juga dinamik, berubah-ubah dan boleh tercampak dalam krisis yang tak terduga.

Pertentangan sengit antara maskuliniti dan femininiti adalah punca besar kepada krisis tak terduga ini dan ia kemudiannya melihatkan bagaimana berlaku kemerosotan kepada nilai-nilai maskuliniti yang kita ketahui tadi.

Krisis maskuliniti merupakan antara fokus menarik dalam kita memahami sesebuah filem. Ia memberikan ruang buat kita meneliti perwatakan dan pergolakan yang berlaku dalam karakter. Dalam filem Melayu, genre melodrama sering mengutarakan krisis maskuliniti dan ia sering membangkitkan pengertian lebih segar terhadap kedinamikan maskuliniti.

Dalam melodrama Melayu, kita dapat melihat bagaimana berlakunya perubahan secara perlahan-lahan terhadap ciri-ciri karakter lelaki utama. Misalnya daripada seorang yang dominan, ganas, gagah dan sombong kepada keadaan yang lebih merosot seperti lumpuh, hilang upaya, sensitif, menangis secara terbuka, lumpuh dan pengecut.

Salah sebuah filem Melayu penting yang membincangkan krisis maskuliniti dengan baik ialah Chuchu Datok Merah (1963).

Karya besar arahan M. Amin ini sering menjadi perhatian penonton dan pengkritik filem Melayu kerana sifatnya yang unik melalui jalinan imej realiti dan surreal serta mengangkat kekuatan karakter antihero dalam bentuk berbeza.

Awang Janggut lakonan Nordin Ahmad merupakan tumpuan utama dalam filem ini. Awang merupakan seorang lelaki gagah dan sentiasa bermegah dengan asal keturunan datuknya, Datok Merah yang digambarkan sebagai golongan bangsawan dihormati.

Terperangkap dalam dogma seperti itu, Awang dilihat masih memelihara reputasi keturunannya, walaupun pada hakikatnya itu hanya sejarah lampau keluarganya dan hakikat semasa kehidupannya bukan lagi seperti era kegemilangan Datok Merah.

Malah apabila kita melanjutkan pemerhatian kepada ruang di dalam rumah Awang yang begitu minimum dan daif, ia meyakinkan bahawa Awang dan isterinya, Wan Kuntum lakonan Latifah Omar hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Namun dengan kekentalan pada imbauan kehebatan keluarganya, Awang Janggut kekal ego dan sombong, tidak mahu bekerja kerana pada pengamatannya dia tidak perlu meminta-minta kerja daripada orang lain.

Pada peringkat awal filem ini, kita didedahkan dengan sikap dominan, ego dan gagah Awang sebagai seorang lelaki, sifat-sifat semula jadi dan tipikal maskulin terpampang jelas pada segala pergerakan Awang.

Satu perkara yang menarik dalam filem ini ialah ayam jantan yang sentiasa ada bersama-sama Awang. Kehadiran ayam jantan yang diberi nama Jalak Hitam amat signifikan sebagai simbol kepada kejantanan yang dimiliki Awang Janggut.

Jika diperhatikan, Awang Janggut dan Jalak Hitam tidak pernah berenggang. Malah, kita melihat Awang tidak pernah mengabaikan Jalak dan sentiasa membelai-belai ayam berkenaan.

Jalak Hitam jadi lambang kegagahan Awang – jaguh dalam pertandingan sabung ayam dan ini membuatkan kedudukan Awang sebagai lelaki yang gagah begitu dipandang tinggi.

Jatuh cinta

Melalui hubungan Awang dan Jalak, muncul elemen seksual dan keberahian. Keadaan ini dikukuhkan dalam suasana watak Siti Molek, anak seorang kaya lakonan Roseyatimah yang begitu tertarik dengan kegagahan Awang dan jatuh cinta kepadanya.

Melaluinya kita dapat memahami bahawa Jalak menjadi sebuah manifestasi kepada sifat kelelakian Awang dan jika lebih nakal ia boleh dilihat sebagai alat sulit yang ada pada lelaki.

Sudah tentu ini menjadi perbincangan yang menarik kerana Chuchu Datok Merah merungkai sifat-sifat maskulin dari sudut seksual dan memaparkan tarikan dan keberahian perempuan terhadap sifat-sifat lelaki yang ada pada Awang.

Kita melihat bahawa Siti Molek tertarik dan suka kepada Awang ketika Awang sentiasa bersama-sama dengan Jalak.

Di sini, satu perkara menarik dapat dilihat iaitu ketika Awang sentiasa membawa Jalak ke mana-mana pun, kita dapat melihat Awang menjadi lelaki gagah, tidak tunduk kepada perempuan dan dalam masa sama kita melihat Awang ialah seorang lelaki yang berlembut dan menyayangi isterinya.

Namun, apabila Awang mula menjalinkan hubungan dengan Siti Molek, Awang sudah tidak mempedulikan Jalak lagi, sehingga Jalak sakit. Di sini kita dapat memahami bahawa pada hakikatnya, Awang sudah meninggalkan sifat kelelakiannya, kegagahannya sudah hilang dan dia sudah menjadi seorang lelaki mabuk kepayang yang menagih cinta Siti Molek.

Ia sangat berbeza ketika Awang menyelamatkan Siti Molek daripada diganggu Long Daik lakonan A. Rahim. Ketika itu, walaupun Awang sudah menyelamatkan Siti, dia tidak pula terhegeh-hegeh mahu menambat hati Siti. Awang masih memelihara kelelakian dan egonya, malah selepas menyelamatkan Siti, dia hanya beredar tanpa mempedulikan wanita berkenaan.

Kehilangan sifat ini semakin jelas dapat dilihat pada Awang apabila Wan Kuntum mengambil tindakan mengejut dengan menyembelih Jalak yang telah sakit, demi menyediakan masakan ayam golek buat Awang. Tindakan ini diambil Wan Kuntum kerana Awang tidak lagi mempedulikan urusan rumah tangga mereka kerana terlalu asyik bermain cinta dengan Siti Molek. Wang di tangan sudah habis, barangan dapur juga sudah tidak mencukupi, keadaan ini memaksa Wan Kuntum menjadikan Jalak Hitam sebagai hidangan.

Jadi lembik

Penyembelihan Jalak sangat penting kerana ia menandakan secara simbolisme bahawa kelelakian Awang telah diragut. Ia seperti alat sulitnya sendiri telah dipotong. Segala kegagahannya seperti telah direntap! Tindakan Wan Kuntum menyembelih Jalak adalah tindakan radikal dalam menyentap kesombongan lelaki. Malah ia menjadi pertentangan maskuliniti dan femininiti yang luar biasa.

Sebaik sahaja hal ini berlaku, kita dapat melihat bagaimana Awang bukan lagi seperti Awang yang kita kenal semasa dia sentiasa berdampingan dengan Jalak. Awang sudah menjadi terlalu lembik. Sifat kelelakian yang berubah dapat dilihat apabila Awang mula berani memukul isterinya, sesuatu yang tidak akan dilakukan oleh seorang lelaki yang hebat dan gagah.

Kemudian, kita disajikan dengan Awang yang merayu-rayu cinta kepada Siti yang tidak lagi mempedulikannya kerana Awang sudah hilang kelelakian, kegagahannya sudah pergi entah ke mana.

Awang Janggut sudah ‘terbunuh’ lebih awal apabila emosinya hanyut akibat tidak tertahan dengan krisis yang melanggar maskulinitinya. Kematian Jalak Hitam menjadi detik mengerikan dalam jiwa kelelakian seorang Awang Janggut. Ia mengubah Awang Janggut menjadi lelaki yang tidak lagi berguna, sifat-sifat maskulinnya runtuh satu-persatu menjadikan Awang terlalu rapuh berdepan kehidupan.

Keupayaan M. Amin meneroka aspek krisis maskuliniti dan keberahian seksual merupakan antara elemen utama yang menjadikan Chuchu Datok Merah sebagai antara filem Melayu terpenting yang pernah dihasilkan.

Simbolik kelelakian melalui ayam jantan yang diusung Awang adalah sangat halus dan bijak. Ia kemudian mengingatkan kita bahawa seorang lelaki hanya menjadi lelaki apabila ‘cock’ sentiasa ada bersama-samanya.

Nakal.


Pengarang :