PKS Malaysia yang membuat pelaburan dalam bidang teknologi boleh menambah antara RM79 bilion dan RM99 bilion kepada KDNK menjelang 2024. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 sasar jualan RM513 juta

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Kerajaan menyasarkan jualan sekurang-kurangnya RM513 juta daripada segmen runcit utama dan dalam talian daripada Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) pada tahun ini yang berlangsung dari Julai hingga akhir tahun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata kempen tersebut yang dilancarkan semalam akan membantu memulihkan ekonomi negara, terutama untuk usahawan tempatan yang terjejas oleh pandemik Covid-19.

“Kalau KBBM berjaya, dan saya yakin akan berjaya, sudah tentu akan membantu pengusaha tempatan berikutan barangan (dan perkhidmatan) keluaran mereka ini akan kita utamakan dalam pasaran kempen ini.

“Sebab itu kita buat kempen ini. Kita perlu membuat satu strategi yang membantu mereka supaya dapat meneruskan perniagaan. Kita tidak mahu perniagaan mereka hilang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran KBBM dengan kerjasama Shopee Malaysia di sini semalam.

Kerjasama strategik itu, yang kembali untuk tahun kedua di platform tersebut, akan membantu mempromosikan keberkesanan kempen itu dengan lima kali ganda penawaran berbanding tahun lepas, apabila purata pesanan harian produk buatan Malaysia di platform tersebut meningkat sebanyak 330 peratus.

Kempen itu terdiri daripada produk, termasuk barangan runcit, kesihatan dan kecantikan, fesyen, keperluan rumah, permainan, produk automotif, termasuk alat ganti, aksesori dan motosikal, selain daripada sektor perkhidmatan seperti tawaran makanan dan minuman.

Selain itu, Nanta menekankan kepentingan untuk mengukuhkan kerjasama awam-swasta dengan pasaran dalam talian untuk mempercepatkan pendigitalan dan memastikan bahawa tiada usahawan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang tertinggal.

Beliau berkata kedua-dua sektor itu memainkan peranan dalam menangani cabaran iklim ekonomi dengan mengukuhkan strategi kerajaan dan menawarkan penyelesaian praktikal yang akan memberi manfaat kepada perniagaan Malaysia dan pengguna.

Bersempena acara itu, Shopee Malaysia turut melancarkan portal baharunya dikenali sebagai ‘Buy Malaysia’ untuk mengetengahkan produk ‘Buatan Malaysia’ dan perniagaan tempatan.

Portal itu, yang menampilkan Jalur Gemilang, dapat dilihat dengan mudah di laman Shopee App dan laman web.

Selain pendedahan yang diberikan kepada penjual tempatan, Shopee Malaysia, dengan kerjasama sektor awam, akan memberi diskaun mingguan khas, ‘pulangan tunai’ dan baucar penghantaran percuma untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan penjual tempatan, lebih-lebih lagi, pada barangan buatan tempatan.

-BERNAMA


Pengarang :