Ir Izham Hashim. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri agih 900 ekor lembu sempena Aidiladha

KLANG, 8 JULAI: Sebanyak 900 ekor lembu akan diagihkan kepada 425 masjid dan Ahli Dewan Negeri (ADN) sempena sambutan Aidiladha.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata setiap masjid menerima seekor lembu manakala empat ekor diserahkan kepada wakil rakyat.

“Tahun ini kita agihkan melalui ADN dan masjid. Tatacara operasi piawai (SOP) korban sedang diteliti selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,” katanya ketika ditemui di Pusat Pertanian Meru di sini.

Beliau berkata ibadah tersebut turut dilakukan di pusat penyembelihan Kerajaan Negeri di Banting dan Shah Alam serta 11 milik swasta.

Sementara itu, Ir Izham memaklumkan pihaknya merancang mempromosikan jualan daging susulan lambakan lembu tidak terjual sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.


Pengarang :