AGENSISELANGOR

Kerajaan Negeri bakal terima 1,258 unit Rumah Selangorku

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Negeri bakal menerima 1,258 unit Rumah Selangorku bagi pelaksanaan Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY).

Pemangku pengarah eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berkata skim berkenaan dapat membantu golongan berpendapatan rendah (B40) yang sukar mendapat pembiayaan memiliki rumah sendiri.

“Setakat ini sebanyak 516 unit sudah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) manakala 742 unit masih menunggu kelulusan,” kata Khairul Azam Saroni ketika dihubungi SelangorKini.

Melalui pelaksanaan Insentif Galakan Pembinaan Rumah Selangorku, Kerajaan Negeri dijangka menerima sekurang-kurangnya 3,000 unit rumah dengan nilai hartanah lebih RM750 juta secara percuma sehingga tahun 2023.

Insentif dilaksanakan LPHS dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu membenarkan pemaju meminda syarat pembinaan rumah Jenis A, B, C atau D kepada Jenis E yang berkeluasan 1,000 kaki persegi lengkap dengan keperluan asas pada harga lebih RM250,000.

Bagaimanapun, pemaju perlu memperuntukkan 15 hingga 30 peratus unit rumah kepada LPHS secara percuma sebagai balasan pindaan berkenaan.


Pengarang :