EXCO Kerajaan Negeri, V Ganabatirau.
EXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri bantu selesai masalah kuil 100 tahun

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kerajaan Negeri mengemukakan dua cadangan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) bagi mengatasi masalah dihadapi Kuil Sri Maha Mariamman di Seksyen 11 di sini.

EXCO Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata perkara itu diharap mendapat pertimbangan PTP bagi mencari penyelesaian segera dan mengelak kejadian sama berulang seperti Kuil Seafield dua tahun lalu.

“Cadangan pertama Kerajaan Negeri kepada PTP ialah supaya pembangunan sekolah dilakukan secara harmoni iaitu sekolah boleh dibesarkan tanpa mengganggu bangunan kuil.

“Sekiranya tidak dapat diterima, kita mengusulkan cadangan kedua iaitu pesuruhjaya itu perlu menyediakan tanah lain untuk kuil dipindahkan tetapi lokasinya perlu disediakan di Seksyen 11 Shah Alam juga kerana tiada kuil lain di Seksyen 11, 12, 13, 14 dan 6,” katanya dalam sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya mahu isu kuil berusia lebih 100 tahun yang berdepan notis arahan untuk mengosongkan tanah bagi memberi laluan kerja naik taraf sekolah berhampiran ditangani dengan baik.

“Kerajaan Negeri berusaha menyelesaikannya secara menang-menang dan memanggil pihak terlibat seperti polis, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Perpaduan untuk jalan penyelesaian,” katanya.


Pengarang :