Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah berbual dengan pihak Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar dalam tinjauan beliau ke sekolah itu yang rosak akibat dilanda ribut Ahad lalu.
ADNSELANGOR

Kerja baik pulih sekolah rosak akibat ribut dilaksana segera

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kerja baik pulih jangka pendek di Sekolah Menengah Agama Sungai Merab Luar dan Sekolah Kebangsaan Sungai Merab Luar yang rosak akibat ribut Ahad lalu dilaksanakan segera, kata Ahli Dewan Negeri Dengkil.

Adhif Syan Abdullah berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),  Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya serta beberapa pihak terlibat menyelesaikan masalah tersebut.

“Memandangkan sekolah bakal dibuka tidak lama lagi kita bercadang untuk pulihkan beberapa kerosakan kecil dulu seperti kerja pembersihan di kawasan terjejas.

“Bagi kerja baik pulih jangka panjang iaitu menaik taraf bumbung sekolah yang diterbangkan angin akan diganti tetapi perlukan sedikit masa,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, Adhif berkata Pejabat Tanah dan Daerah juga sedang melakukan bancian bagi mengenal pasti kerosakan kira-kira 30 rumah di Kampung Sungai Merab Luar yang turut terjejas.

“Perkara itu sudah dimaklumkan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan beliau akan melawat kawasan tersebut dalam masa terdekat ini,” katanya.


Pengarang :