Pekerja kontraktor sedang membersihkan sekitar kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa pada 30 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Kerja baik pulih tanah runtuh Taman Kelab Ukay 35 peratus siap

SHAH ALAM, 22 JULAI: Kerja membaik pulih tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa berjalan lancar dan setakat ini 35 peratus siap.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Norhayati Ahmad berkata proses pembaikan cerun lancar sepeti kerja pembersihan dan pengukuhan termasuk di bahagian longkang dilakukan berterusan dengan kontraktor tidak berdepan sebarang masalah.

“Namun MPAJ dan kontraktor sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pemantauan, analisa dan pemeriksaan kawasan berdekatan dari semasa ke semasa. Kita jangkakan kerja baik pulih selesai Disember ini,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada 30 Mei lalu, penghuni di tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat itu.

Penduduk kemudian dipindahkan ke Hotel De Palma Ampang selama tujuh hari dengan kos ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri turut memberi bantuan sewa rumah RM1,000 selama enam bulan dan sumbangan kewangan RM500 manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntukkan sehingga RM3,000 bagi bantuan sewa.

Pada 4 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM433,800 bagi kerja baik pulih dan pengukuhan tebing Sungai Sering oleh Jabatan Pengairan dan Saliran negeri selain kajian terperinci di kawasan berkenaan yang berdepan insiden tanah runtuh sejak beberapa tahun lalu.


Pengarang :