Seorang pekerja kesihatan memakai sut pelindungan diri membawa sampel ujian calitan berjalan melalui pasar tradisional di Jakarta, Indonesia pada 25 Jun 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Kes positif Covid-19 di Indonesia lepasi angka 70,000

JAKARTA, 9 JULAI: Kes positif Covid-19 di Indonesia kini melepasi angka 70,000 dengan penambahan 2,657 kes baharu dalam tempoh 24 jam, jumlah penambahan tertinggi sejak kes pertama 2 Mac lepas.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata kes positif keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 70,736 kes, manakala kes kematian keseluruhan kini berjumlah 3,417 orang.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 58 lagi kematian berlaku, manakala 13,732 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19,” katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,125 kes, diikuti Jakarta (671 kes), Jawa Tengah (225), Kalimantan Selatan (209) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Provinsi tertinggi kes positif keseluruhan adalah di Jawa Timur iaitu sebanyak 15,484 kes, diikuti Jakarta (13,488 kes) dan selebihnya di 32 lagi provinsi lain.

– BERNAMA


Pengarang :