Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel cecair mulut dan hidung penduduk setempat yang hadir membuat saringan Covid-19 di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: 868,394 disampel Covid-19, saringan setanding Korea Selatan

SHAH ALAM, 16 JULAI: Seramai 868,394 individu disampel untuk Covid-19 di negara ini setakat hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu bersamaan 27.14 individu bagi setiap 1,000 populasi.

“Data awal di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan menunjukkan Malaysia menjalankan 1,577,417 ujian (rt-PCR dan RTK-Antigen).

“Bilangan ujian di negara ini setanding dengan negara Korea Selatan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata walaupun kapasti makmal untuk persampelan bertambah sehingga 37,000 sampel sehari namun kadar positif hanya 1.05 peratus.

“Ini bermakna hampir 99 peratus keputusan ujian Covid-19 yang telah dijalankan adalah negatif,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan 88,048 ujian Rapid Test Kit-Antigen dijalankan dengan 197 daripadanya dikesan positif Covid-19 setakat semalam.

“Daripada jumlah ini, 25,038 adalah saringan di semua pintu masuk antarabangsa termasuk Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2, Johor, Kedah dan Pulau Pinang dengan purata 357 orang disaring setiap hari,” katanya.


Pengarang :