Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (duduk dua, kanan) beramah mesra bersama pengamal media ketika menghadiri Majlis Malam Ramah Mesra Media di Hotel Seri Pacific pada 9 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM iktiraf media petugas hadapan, sebar maklumat sahih Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengiktiraf dan menghargai media sebagai barisan hadapan yang berganding bahu memerangi pandemik Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata selain menyampaikan dasar dan polisi kerajaan, peranan media amat penting terutama dalam menyampaikan maklumat dengan cepat dan tepat serta bertindak sebagai agensi yang membetulkan persepsi masyarakat.

“Saya dan KKM berpendapat media juga barisan hadapan, mereka (media) juga tempuh risiko, mereka juga lalui keperitan dan kesusahan. Justeru, saya dan KKM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih atas usaha komitmen, kesungguhan, kesabaran ketabahan media.

“Nama baik KKM, barisan hadapan agensi-agensi kementerian terlibat, nama baik negara kita dibawa oleh rakan media…hari ini dunia mengiktiraf kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Ramah Mesra Media di sini semalam yang dihadiri kira-kira 120 pengamal media daripada pelbagai agensi.

Beliau berkata kejayaan Malaysia dalam membendung Covid-19 adalah usaha pelbagai pihak yang memainkan peranan masing-masing.

-BERNAMA


Pengarang :