Pasukan Petugas Kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM kenal pasti dua lagi kluster baharu, semuanya 21

SHAH ALAM, 22 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua lagi kluster baharu membabitkan sebuah kapal di Selangor dan pesakit bawah pemantauan (PUI) Melbourne di Sarawak.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster Hyde Park di Pelabuhan Klang berpunca dari kru kapal warga Rusia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir dan India.

“Kluster ini dikenal pasti susulan saringan Covid-19 yang dijalani kru tersebut sebelum pulang ke negara asal. Setakat ini, seramai 24 orang disaring dengan empat daripadanya positif,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kluster itu tidak membawa risiko penularan jangkitan kerana terpencil dan langkah pencegahan seperti proses nyahkuman sudah dijalankan.

Dr Noor Hisham berkata kluster PUI Melbourne pula membabitkan pelajar Malaysia pulang dari Australia 15 Julai lalu dan disahkan positif di Kuching dua hari kemudian.

“Seramai 21 kontak rapat terdiri daripada penumpang pesawat dan kenderaan awam berkaitan disaring dan menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya lagi.

Sehingga semalam, jumlah kluster aktif ialah 19 dengan 13 daripadanya diumum dalam tempoh 10 hari.


Pengarang :