Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel cecair mulut dan hidung penduduk setempat yang hadir membuat saringan Covid-19 di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM kesan kluster baharu libatkan penjaja Pasar Stutong

SHAH ALAM, 18 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kluster baharu di Pasar Stutong, Sarawak apabila dua kes didapati positif Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster itu dikesan hasil saringan penjaja pasar terbabit yang dikenal pasti sebagai salah satu kumpulan sasar.

“Pasar ini ditutup sementara waktu bagi aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan serta nyah kuman. Punca jangkitan kluster masih dalam siasatan,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata 218 penjaja disaring membabitkan 213 warganegara termasuk lima warga asing terdiri daripada tiga warga China, Indonesia (satu) dan Vietnam (satu).

Katanya, daripada jumlah saringan itu, 56 orang disampel dan keputusan pensampelan mendapati 54 negatif.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata lima kes positif dilaporkan daripada 70 individu yang disaring dalam kluster Mambong setakat 12 tengah hari.

“Seramai 65 orang menunggu keputusan dan kluster ini melibatkan warganegara Malaysia serta seorang warga asing (Filipina) yang merupakan kes indeks ke-8,732,” katanya.


Pengarang :