Orang ramai diseru untuk terus menderma darah bagi memastikan bekalan stabil dan mencukupi untuk memenuhi keperluan pesakit. Foto: ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM minta orang ramai terus derma darah

TAIPING, 26 JULAI: Kementerian Kesihatan meminta orang ramai untuk terus menderma darah, bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi terutamanya bagi kegunaan pada waktu kecemasan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kesedaran rakyat mengenai pentingnya menderma darah perlu sentiasa ditingkatkan, meskipun bekalan darah di tabung darah di semua hospital di negara ini mencukupi, termasuk semasa mengendalikan pandemik Covid-19.

“Hanya 2.2 peratus dari populasi rakyat negara ini merupakan penderma darah dan kesedaran tentang kepentingan menderma darah secara berterusan perlu ada, kerana transfusi darah tidak hanya berlaku semasa bencana sahaja.

“Kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan kritikal darah diperlukan dari penderma. Darah juga mempunyai tarikh luput bagi sel darah merah antara 45 hingga 50 hari, semasa di dalam simpanan Tabung Darah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penghargaan dan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat negeri di sini hari ini.

Seramai 64 orang penderma darah menerima sijil penghargaan pada majlis yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, di sini.

– BERNAMA


Pengarang :