Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 11 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: Saringan kedua penting elak penularan Covid-19 berulang

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa 414 individu yang belum menjalani saringan kedua Covid-19 pada hari ke-13 untuk segera berbuat demikian.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pematuhan ini penting bagi mengelak wabak menular semula seperti berlaku di beberapa bandar utama disebabkan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP).

“Ia kurang 206 orang daripada jumlah dilaporkan pada 2 Julai lalu.

“Kita perlu mengambil iktibar daripada situasi di Victoria, Australia yang membuat pengumuman menutup 55 laluan masuk di sempadan negeri itu dengan New South Wales (NSW) selepas kes Covid-19 kembali meningkat,” kata ketua pengarah kesihatan ketika sidang media di Putrajaya.

Seramai 5,390 daripada 5,804 orang diberi pelepasan (HRO) selepas negatif saringan kedua setakat ini ketika berada di bawah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Dr Noor Hisham berkata bilangan ini akan dikemas kini dari masa ke semasa berdasarkan maklumat diperolehi dari Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Beliau berharap pengembara yang pulang dari luar negara terus memberi kerjasama kepada KKM dan patuh kepada syarat di bawah HSO.


Pengarang :