AGENDANASIONAL

KKM tetap jalankan saringan di tahfiz, madrasah tidak berdaftar

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) tetap menjalankan saringan Covid-19 kepada pelajar dan kakitangan tahfiz atau madrasah yang tidak berdaftar, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun kementerian itu mengalu-alukan institusi itu untuk berdaftar dengan majlis agama.

“Sama ada tahfiz atau madrasah itu daftar atau tidak kita tetap mengambil pendekatan jalankan saringan Covid-19 secara berperingkat kepada mereka semua.

“Namun, tahfiz dan madrasah yang tidak berdaftar digalakkan untuk daftar kerana ia memudahkan KKM untuk mengetengahkan beberapa syarat yang perlu mereka patuhi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan semua sekolah agama dan madrasah tahfiz yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri dibenarkan untuk dibuka semula mulai 15 Julai ini.

Namun bagi sekolah agama dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar, mereka perlu merujuk kepada pihak kerajaan negeri sebelum memulakan operasi.


Pengarang :