Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 1 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM umum kluster Gombak, Pangsapuri Cheras tamat

SHAH ALAM, 5 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan penamatan dua lagi kluster Covid-19 hari ini iaitu Gombak dan Pangsapuri Cheras dengan jumlah 56 kes keseluruhan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua-dua kluster ini berkaitan kediaman di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kes pertama kedua-duanya dikesan hasil saringan pelajar pusat tahfiz dan maahad yang merupakan salah sebuah kumpulan sasar dikenal pasti berisiko tinggi. Ini adalah pendekatan tertumpu setakat ini membantu mengesan banyak kes Covid-19,” kata ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati tiada kes positif lain daripada kedua-dua pusat tahfiz dan maahad yang terlibat ini.

Kluster Gombak dilaporkan pada 18 Mei lalu hasil daripada aktiviti pengesanan kes secara aktif di sebuah kuarters kediaman di Gombak dengan lima kes positif melibatkan warganegara Malaysia.

Sehingga semalam, seramai 200 orang disaring membabitkan kluster berkenaan.

Bagi kluster Pangsapuri Cheras, kes pertama dilaporkan pada 1 Jun lalu juga daripada aktiviti pengesanan secara kes aktif di sebuah pangsapuri di Cheras.

Kes itu melibatkan lapan orang didapati positif iaitu satu warga Indonesia daripada tiga bukan warganegara dan selebihnya rakyat tempatan manakala 144 individu disaring setakat semalam.


Pengarang :