Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka, Jabatan Penerangan, Mohd Roffee Mohamad melihat antara logo yang dipertandingkan untuk Pertandingan Mencipta Logo dan Tagline Kempen Pembudayaan Norma Baharu anjuran KKMM, semalam. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKMM: Pertandingan cipta logo kempen budaya norma baharu dapat sambutan

PUTRAJAYA, 16 JULAI: Pertandingan mencipta logo dan ‘tagline’ (slogan) Kempen Pembudayaan Norma Baharu untuk mengekang penularan pandemik Covid-19, anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Jabatan Penerangan, mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima 2,150 penyertaan, melibatkan 1,137 peserta dalam tempoh 10 hari pertandingan.

Antara yang menarik dalam pertandingan yang dibuka antara 1 Julai dan 10 Julai itu ialah, terdapat seorang peserta dari Kedah yang menghantar sebanyak 127 penyertaan, serta terdapat penyertaan daripada peserta yang berusia 13 tahun dari Melaka, walaupun pertandingan dibuka bagi mereka yang berusia 15 tahun ke atas.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan semalam berhubung pertandingan itu, penyertaan yang disenarai pendek semalam akan diadili untuk kali kedua, bagi memilih lima penyertaan terbaik untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencari juara.

Antara kriteria utama pemilihan lima logo yang disenarai pendek adalah berdasarkan kreativiti, keaslian ciptaan, dan rasional logo berdasarkan slogan, menurut kenyataan itu lagi.

Ketua Juri Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaakob ketika ditemui pada sesi penjurian pertandingan itu hari ini, memuji langkah penganjuran pertandingan itu, kerana mencipta logo bagi kempen berkenaan bukanlah satu perkara yang mudah, kerana ia bukan logo bersifat komersial.

“Pertandingan seumpama ini patut dianjurkan setiap tahun, kerana reka bentuk sentiasa berubah,” katanya.

Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka Jabatan Penerangan Mohd Roffee Mohamad, yang juga salah seorang dari tiga juri pertandingan itu berkata, barisan juri mencari logo dan slogan yang mudah difahami dengan sekali pandang, selain menggambarkan misi dan visi kerajaan dalam mengawal Covid-19.

Juara bakal menerima hadiah wang tunai RM5,000 tempat kedua RM3,000 dan tempat ketiga RM1,000.


Pengarang :