Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 21 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster Sivagangga: KKM saring 262 individu, lapan dikesan positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap 262 individu dalam kluster PUI (pesakit bawah siasatan) Sivagangga di Kedah dan lapan daripadanya dikesan positif, setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah kes positif itu, lima individu adalah bukan warganegara.

“Sebanyak 251 individu pula dikesan negatif manakala tiga lagi masih menunggu keputusan. Aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif masih diteruskan,” katanya.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, beliau menasihati semua umat Islam di Malaysia yang melaksanakan aktiviti ibadah korban agar terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kerajaan.

“Pemakaian alat pelitup muka adalah amat digalakkan di tempat yang sesak dan sempit, terutamanya sekiranya penjarakan fizikal sukar diamalkan.

“Amalkan kebersihan kendiri, terutamanya kebersihan tangan dengan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun terutamanya apabila mengendalikan makanan semasa penyediaan juadah Hari Raya,” katanya.

Beliau berkata semua anggota barisan hadapan sentiasa mengharapkan masyarakat dapat memainkan peranan masing-masing dalam memerangi wabak Covid-19.

“Semoga dengan norma dan kebiasaan baharu ini, kita dapat sama-sama membendung wabak Covid-19 di Malaysia semasa mahupun selepas musim perayaan,” katanya di samping melahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang komited memberikan perkhidmatan ketika musim perayaan ini.

– BERNAMA


Pengarang :