Keadaan simpang tiga Jalan Kuari Hulu Langat berlubang dan membahayakan pengguna. Foto ihsan Edry Faizal
ADNSELANGOR

Konsesi Lebuhraya EKVE digesa atasi kerosakan Jalan Kuari Hulu Langat

SHAH ALAM, 4 JULAI: Syarikat konsesi Lebuhraya Lingkaran Luar-Hubungan Timur (EKVE) digesa segera membaiki dan menyelenggara simpang tiga Jalan Kuari Hulu Langat yang rosak sehingga mengancam keselamatan pengguna.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua berkata walaupun aduan sering disalurkan namun pihaknya tidak melihat kesungguhan dan kepantasan pihak konsesi dalam menyelesaikan masalah tersebut.

“Isu kerosakan jalan melibatkan simpang tiga Jalan Kuari Hulu Langat bukan perkara baharu. Jalan Hulu Langat merupakan jalan persekutuan dan tanggungjawab penyelenggaraan di bawah Jabatan Kerja Raya dengan peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

“Namun, bermula dari simpang Jalan Kuari sehingga lebih kurang 100 meter darinya diserahkan tanggungjawab selenggaraan kepada konsesi EKVE,” kata Edry Faizal Eddy Yusof dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau menyeru Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bertindak terhadap isu yang timbul menerusi pembinaan lebuh raya berkenaan.

“Janganlah menunggu ada menteri yang turun barulah berbondong-bondong rombongan mengekor bersama menjenguk kesan sampingan daripada projek lebuh raya ini.

“Saya sedia bekerjasama dan membantu supaya segalanya lancar, namun iltizam harus datang dari konsesi dan LLM,” katanya.


Pengarang :