Anggota tentera memasang kawat besi berduri di sekitar kawasan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di MAEPS ketika tinjauan pada 25 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kuarantin wajib di lokasi khas mulai esok – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kerajaan menetapkan semula rakyat Malaysia atau warga asing yang tiba dari luar negara menjalani kuarantin wajib 14 hari di pusat kuarantin dikhaskan mulai esok.

Menteri kanan (keselamatan) berkata langkah tersebut dilaksanakan selepas terdapat individu melanggar tempoh kuarantin di rumah sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Setiap kemasukan sama ada melalui jalan darat, laut dan udara di semua pintu masuk termasuk Sabah dan Sarawak akan dikuarantin di pusat disediakan kerajaan, tiada lagi kelonggaran menjalaninya di kediaman sendiri.

“Kerajaan memandang serius insiden melanggar tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang tempoh kuarantin di rumah yang menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata individu dikuarantin perlu menanggung kos ujian saringan Covid-19 sebaik tiba di tanah air dan kos harian di pusat berkenaan.

Sebelum ini, bermula 10 Jun individu pulang dari luar negara dan disahkan negatif Covid-19 perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah apabila pusat kuarantin di hotel ditutup, bagaimanapun ia dikaji semula selepas terdapat sebahagian daripada mereka melanggar peraturan.


Pengarang :