Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri ketika ditemubual media pada 13 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kuis tunggu keputusan bantuan, potong yuran pengajian

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) sedang menunggu keputusan permohonan bantuan bagi mengurangkan kadar yuran pengajian mahasiswa semester ini, kata rektornya.

Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata buat masa ini, yuran pengajian dan asrama yang perlu ditanggung penuntut kekal seperti semester sebelumnya.

“Kita ada mohon bantuan untuk tujuan itu daripada Kerajaan Negeri tetapi masih menunggu keputusan. Jika dana suntikan diterima, kita akan cuba (kurangkan yuran pengajian),” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berharap usaha bakal dilaksanakan mampu mengurangkan beban ibu bapa khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) yang terjejas atau kehilangan pekerjaan ekoran Covid-19.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua 1 Majlis Perwakilan Pelajar Kuis Muhamad Iqbal Hakim Nadhri, 20, berkata pihaknya mencadangkan pengurangan lima peratus yuran pengajian kepada pihak pengurusan kolej.

“Pelajar amat menantikan pengumumannya namun Kuis sendiri tersekat dengan kekurangan dana dan perlu menanggung kos pengurusan kolej. Yuran kami di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) agak tinggi dan perlukan perhatian semua pihak, ditambah pula dengan Covid-19 yang sedikit sebanyak menjejaskan kewangan keluarga pelajar,” katanya.

Terdahulu, Kuis menetapkan yuran pendaftaran pelajar baharu sebanyak RM650 iaitu pengurangan RM350 daripada jumlah asal bagi sesi Julai 2020/2021.


Pengarang :