Gambar Hiasan
AGENDAEKONOMINASIONAL

Lebih banyak langkah fiskal diperlukan bantu golongan terdedah – Dr Jomo

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Lebih banyak langkah fiskal diperlukan di Malaysia yang mensasarkan golongan yang terdedah dan pekerja di sektor bukan formal untuk membantu segmen ini daripada krisis ekonomi disebabkan penularan Covid-19.

Langkah-langkah fiskal merujuk kepada penggunaan perbelanjaan kerajaan dan dasar percukaian untuk mempengaruhi keadaan ekonomi, terutama terhadap ekonomi makro termasuk permintaan agregat untuk barangan dan perkhidmatan, pekerjaan, inflasi, serta pertumbuhan ekonomi.

Ahli Ekonomi, Dr Jomo Kwame Sundaram berkata langkah fiskal seharusnya disasarkan dengan lebih baik untuk mengenal pasti dan mengurangkan kesusahan dihadapi golongan yang terdedah.

“Sebagai contoh, saya rasa sangat tidak wajar untuk meningkatkan pendapatan penjawat awam tetapi pada masa yang sama mengabaikan keperluan sektor tidak formal dan pekerja bergaji harian dan sebagainya. Apa yang diperlukan oleh syarikat perniagaan yang menghadapi kerugian adalah berbeza dengan perniagaan yang mungkin akan berkembang.

“Contoh lain pula ialah kemungkinan tumpuan akan diberikan bukan sahaja kepada penjagaan kesihatan tetapi juga penjagaan secara umum…terdapat lebih banyak keperluan untuk sektor ini, “katanya

Jomo berkata demikian pada sesi webinar bertajuk ‘Rebuilding economies in the aftermath of COVID-19: OECD and non-OECD countries’ responses’ anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini.

Turut hadir Pengarah Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) Dr Alvaro Santos Pereira.

Jomo berkata mereka yang bekerja dalam industri yang merudum perlu ditempatkan ke sektor-sektor lain yang berkembang maju.

“Ini tidak menyukarkan. Ia akan menelan belanja, memerlukan latihan sambil memastikan mereka mempunyai pendapatan asas, dapat menampung permintaan. Sekiranya permintaan agregat runtuh sepenuhnya, itu boleh menjadi malapetaka. Malaysia, sudah pasti adalah negara yang mengamalkan ekonomi yang sangat terbuka. Langkah-langkah yang lebih hebat diperlukan untuk mengukuhkan ekonomi.

“Hanya menurunkan kadar faedah adalah tidak cukup baik kerana krisis ini sangat spesifik. Anda harus dapat menyesuaikan langkah anda dengan sewajarnya,” katanya.

Bersetuju dengan pendapat Jomo, Pereira berkata Malaysia perlu fokus untuk mempersiapkan ekonomi untuk gelombang pembangunan seterusnya.

Kerajaan perlu melabur lebih banyak, menumpukan perhatian untuk meningkatkan keperluan pendidikan dan kemahiran, ramai dikalangan golongan muda di Malaysia tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan oleh syarikat multinasional yang beroperasi di sini.

-BERNAMA


Pengarang :