Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lesen batal jika warga asing kahwin penduduk tempatan untuk berniaga

PUCHONG, 11 JULAI: Lesen perniagaan milik rakyat tempatan akan terbatal sekiranya urus niaga dikendalikan pasangan warga asing dan perkahwinan mereka untuk tujuan berkenaan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata Kerajaan Negeri memandang serius perkara itu dan isu tersebut akan disiasat jawatankuasa perlesenan sebelum tindakan diputuskan.

“Ini antara cabaran dihadapi kerana kita memang tidak beri lesen berniaga kepada warga asing namun soal hati kita tidak dapat kawal.

“Tindakan membatalkan lesen perniagaan ini pernah dibuat selepas kita dapati warga asing berkenaan hanya menggunakan pasangan mereka untuk mendapatkannya semata-mata,” katanya ketika ditemui selepas melawat laluan berbumbung pejalan kaki berhampiran Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Puteri hari ini.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor Julai tahun lalu, Sze Han menegaskan Kerajaan Negeri tidak melesenkan perniagaan kecil dan sederhana (penjaja) kepada warga asing.

Ia selaras Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bil 3 tahun 2008, Pengeluaran Permit Perniagaan Kecil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).


Pengarang :