Saipolyazan Mat Yusop Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LZS turunkan sasaran kutipan zakat kepada RM800 juta

SHAH ALAM, 11 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangka kutipan zakat perniagaan dan pendapatan pada tahun ini menurun akibat penularan Covid-19, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Saipolyazan Mat Yusop berkata berdasarkan situasi negara yang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pemulihan, LZS menurunkan sasaran kepada RM800 juta berbanding RM855.1 juta pada tahun lalu.

“Penularan Covid-19 menyebabkan pendapatan syarikat merosot malah ada yang tidak mampu bertahan sehingga terpaksa menghentikan operasi atau membuang pekerja.

“Malah krisis ini bukan sahaja menjejaskan golongan B40 sebaliknya golongan pertengahan M40 yang membayar zakat pendapatan pada setiap tahun, mungkin tidak lagi mampu berbuat demikian,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Saipolyazan berkata zakat perniagaan dan pendapatan menyumbang sebanyak 78 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan di Selangor pada tahun lalu.

Pada Mac lalu, LZS menyalurkan bantuan khas zakat Covid-19 sebanyak RM500 seorang kepada 9,000 penerima dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf di samping sumbangan maksimum sehingga jumlah sama kepada 20,000 penerima terdiri penjaja dan peniaga kecil serta keluarga golongan B40.

LZS turut mengagihkan bantuan khas berjumlah RM1 juta kepada hospital kerajaan dan pusat kesihatan daerah, petugas barisan hadapan dan pelajar institusi pengajian tinggi di negeri ini.


Pengarang :