Selangor menguatkuasakan larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainaan serta rekreasi.
AGENSISELANGOR

Mais sokong kuat kuasa larangan merokok di taman awam

SHAH ALAM, 17 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyokong Kerajaan Negeri menguatkuasakan larangan merokok termasuk rokok elektronik dan meminum arak di taman awam.

Pengerusinya, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata perbuatan tersebut diharamkan sama ada di tempat awam atau kawasan persendirian.

“Walaupun Kerajaan Negeri Selangor menguatkuasakan larangan bagi perbuatan tersebut di taman awam sahaja, Mais menegaskan umat Islam dilarang melakukan perbuatan tersebut di mana jua mereka berada,” katanya dalam kenyataan.

Selasa lalu, Selangor muncul negeri pertama menguatkuasakan perintah larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainaan serta rekreasi.

EXCO kerajaan tempatan, Ng Sze Han ketika sidang Dewan Negeri Selangor berkata individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.


Pengarang :