Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah terhadap semua pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd pada 28 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Majlis Presiden PAKATAN: Keputusan mahkamah kemenangan rakyat

SHAH ALAM, 28 JULAI: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan keputusan mensabit salah terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai kemenangan besar buat rakyat.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP) merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam proses ini termasuk mantan Peguam Negara.

“Proses pengadilan ini pasti tidak akan bermula sekiranya rakyat tidak bangkit untuk memberikan kemenangan kepada PAKATAN dan mengalahkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Malah bila disoroti sejarah isu ini masalah urus tadbir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibangkitkan kali pertama di Parlimen oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan bersama.

Bekas perdana menteri itu didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Majlis Presiden turut mengajak seluruh rakyat meneliti dan menelusuri penghakiman yang dibuat hari ini.

Dalam kenyataan sama ketiga-tiga pemimpin berpendirian reformasi institusi menyeluruh perlu dilaksana untuk memastikan iklim politik yang memungkinkan kerosakan besar pada zaman pemerintahan Barisan Nasional tidak berulang.


Pengarang :