Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap semasa sidang media berkaitan jangkian Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 7 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia-China runding fasa ketiga ujian vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 14 JULAI: Malaysia sedang dalam rundingan dengan China untuk ujian fasa ketiga vaksin Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia susulan kajian Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap kluster Sungai Lui sebelum ini mendapati antibodi terbina menurun selepas tiga bulan pemulihan.

Beliau berkata kes itu sama dengan delegasi perubatan China yang berkunjung ke Malaysia April lalu apabila uji kaji dijalankan mereka turut menunjukkan antibodi pesakit hanya 17 hingga 18 peratus.

“Sepatutnya apabila dijangkiti, antibodi meningkat kira-kira 80 hingga 90 peratus dan apabila berlaku peningkatan baharu boleh ada ‘herd immunity’ (imuniti kelompok) tetapi tindak balas pula semakin berkurangan,” katanya dalam sidang media Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata faktor itu juga berkemungkinan pesakit pernah dijangkiti wabak tersebut boleh terkena semula atau vaksin dapat merangsang tindak balas antibodi dalam kalangan mereka.

“Sekarang kita mahu melihat sama ada vaksin baharu ini mampu merangsang antibodi secara kekal atau hanya sementara. Jika tidak maka kita tiada imuniti kelompok itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sifar kes penularan tempatan hari ini bertepatan dengan jangkaan KKM tetapi rakyat diminta terus berwaspada kekal patuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Jangkitan luar negara bukan dalam kawalan KKM namun kementerian akan terus memastikan setiap individu yang baharu pulang dari luar negara disaring di pintu masuk lapangan terbang dan menjalani kuarantin di rumah,” jelasnya.


Pengarang :