BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Manfaat teknologi, teroka cabang kriptologi

BAHAGIAN AKHIR

Minggu lepas kita sudah menelusuri beberapa teknologi terbaharu serta trend digitalisasi terkini. Selain ciptaan inovatif seperti penggunaan dron dan juga meluasnya kecanduan kepada platform di ‘permukaan’ seperti WhatsApp, Telegram dan Instagram, banyak lagi yang tersembunyi dalam apa yang dipanggil Dark Web (Web Gelap).

Dunia Web Gelap ini terselit di celah-celah transaksi ‘halal’ dan sah yang berlaku setiap saat dan menghubungkan pembunuh upahan, penjual senjata curi, tentera penggodam upahan, pereka dadah sintetik terbaharu serta apa-apa sahaja perkara yang mampu difikirkan tetapi tidak mungkin dijual secara terbuka di alam maya yang biasa kita layari.

Dengan menggunakan mata wang tersendiri yang dipanggil mata wang kripto, banyak urusan jualan barangan berunsurkan jenayah terlepas daripada dikesan pihak bank dan pihak berkuasa negara-negara di dunia kerana ia memerlukan sejumlah kelengkapan digital yang berbeza dengan kemahiran pasukan bertindak siber yang berkeupayaan untuk melakukan penjejakan data serta mahir dalam kriptologi.

Tidak dinafikan, bukan semua wang kripto bermasalah. Ada beberapa negara yang telah menyokong penggunaannya, dan menyebabkan penjualannya ‘meletup’ beberapa ketika serta melahirkan jutawan segera (seperti pembelian saham secara pukal baru-baru ini menyedari jatuhnya nilai beberapa kaunter saham yang biasanya sentiasa tinggi dan mahal).

Menyedari tiadanya pengawalan yang meluas dan berkesan terhadap penggunaan mata wang sebegini, beberapa negara lain mula bertindak dan mengharamkan penggunaan malah pembelian wang digital seperti Bitcoin.

Ternyata, teknologi bukanlah isu yang menjadi punca masalah yang berlaku. Seperti pisau, teknologi boleh menjadi rakan dan juga menjadi lawan bergantung kepada penggunaannya.

Asas-muasal kepada mata wang kripto adalah sebuah kaedah pengekodan data yang disebut rantaian blok. Ia adalah pendekatan terbaharu yang mampu mencipta revolusi kepada penyimpanan rekod yang lebih terbuka dan lebih selamat di masa hadapan.

Saat ini kerajaan mungkin tidak berminat dengan rantaian blok dan mata wang kripto. Tetapi seperti mana sebahagian negara-negara Eropah kini telah menghalalkan ganja (malah Amsterdam dan beberapa negeri di Amerika melihat kenaikan jualan ganja yang luar biasa sebelum perintah berkurung tempoh hari) atau seperti jiran kita sendiri Thailand yang sudah menghalalkan ketum dan kini menjadi pengeksport utama tanaman tersebut, tidak mustahil kalau suatu hari nanti pandangan kerajaan kepada perkara-perkara ini turut berubah setelah negara-negara di dunia berjaya merumuskan dasar bersama bagi memantau penyalahgunaannya.

Didik masyarakat celik digital

Badan-badan berasaskan teknologi seperti Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) telah pun menjadi pemangkin dalam meletakkan batu asas kepada penggunaan teknologi yang terkini, selain daripada aplikasi seperti Smart Parking, CEPAT dan lain-lain yang telah berjaya dilaksanakan. Barangkali banyak lagi penerokaan cabang seperti teknologi kripto dapat dimanfaatkan malah dikomersialkan, lebih-lebih lagi dalam dunia internet segalanya (IoT) sekarang ini.

Mujur Selangor sentiasa selangkah ke hadapan dan bersiap siaga untuk membantu mengangkat perusahaan sosial (social enterprise) dan perusahaan tunas rintisan (startup) dengan pembentukan organisasi seliaan seperti Majlis Teknologi Maklumat dan E-dagang Selangor (SITEC).

Dato’ Seri Amirudin Shari melihat replika Bangunan SITEC Hab E-Dagang yang dipamerkan ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Anugerah SITEC Hab E-Dagang di Kota Damansara pada 23 April 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Dengan kerjasama badan berwajib dan pihak berkepentingan yang lain, sebetulnya banyak usaha jangkauan celik digital yang dapat digerakkan untuk menjelaskan peranan teknologi terbaharu malah mendidik orang ramai agak tidak tertipu dengannya. Jika dilengkapkan pula dengan kecelikan kewangan (financial literacy), sekurang-kurangnya rakyat tidak mudah menjadi mangsa skim pelaburan yang tidak kita tahu asal-usulnya, seperti menjana kripto, serta permainan tukaran mata wang yang tidak sah.

Ia juga dapat mengelakkan mereka dari ditipu daripada sebarang cubaan scam, dan akan lebih cakna daripada terperangkap dengan dugaan judi siber yang sedang meningkat naik sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan ini (memandangkan pusat judi tidak dibenarkan beroperasi). Dan kepada yang lebih kreatif, ramai yang telah mengambil kesempatan teknologi sedia ada dengan menjadi pencipta kandungan (content creator) dan memanfaatkan wadah seperti YouTube, Bigo dan juga TikTok untuk menjana pendapatan.

Ternyata masa depan berada dalam genggaman sesiapa yang menguasai teknologi. Sudah sampai masanya untuk kita juga tidak ketinggalan dalam persaingan ini. Dalam perang perdagangan Amerika-China, ada ruang dan peluang untuk Selangor rebut sebagai penjana satu perempat daripada kek ekonomi Malaysia. Ada ungkapan yang berguna untuk kita ingati: “if you can’t beat them, join them” (jika tidak boleh kalahkan, sertai mereka).


Pengarang :