EXCO Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud bersama peserta PWB dalam bengkel membuat kek. FOTO PWB
EXCO SELANGOR

Mangsa terkesan Covid-19 terima bantuan susu, lampin bayi lebih RM300,000

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kerajaan Negeri melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB) memperuntukkan sejumlah RM336,000 dalam bentuk bantuan susu dan lampin bayi kepada mangsa terkesan Covid-19.

EXCO Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata sehingga kini seramai 5,829 individu dari semua Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima manfaat tersebut.

“Kita memutuskan untuk batal dan tangguh beberapa program PWB yang bersifat tidak kritikal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Susulan itu, kita melaksanakan program kilat iaitu pemberian susu dan lampin bayi kepada mereka yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, beliau berkata PWB giat menganjurkan aktiviti yang memfokuskan kepada modul perusahaan makanan, minuman serta kraftangan dalam tempoh PKP Pemulihan.

Menurutnya, 80 program dilaksanakan dalam tempoh itu merangkumi bengkel membuat kek, pembuatan ikan sardin, masakan aneka sambal dan gubahan bunga yang boleh menjana pendapatan wanita di rumah.

“Saya yakin program PWB dinanti-nantikan wanita di negeri ini selepas hampir empat bulan ditangguhkan susulan PKP,” katanya.

 


Pengarang :